Terkini

Sunday 10 August 2008

Usahawan Muslim 13 negara sertai Forum Perniagaan di Kota Bharu

KOTA BHARU, 10 Ogos (Hrkh) - Seramai 150 usahawan dari 13 negara menghadiri Forum Rangkaian Perniagaan Muslim Antarabangsa Kali Ke-3 yang dianjurkan kerajaan Kelantan selama dua hari bermula semalam.
Negara-negara terbabit termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Myanmar, Sri Lanka, Bangladesh, Filiphina, UAE, India, Taiwan, China dan Hong Kong.
Penyertaan tahun ini bertambah sekali ganda berbanding tahun lepas yang hanya dihadiri usahawan enam negara iaitu Myanmar, Timur Laste, India dan Bangladesh.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika merasmikan program itu berharap pengusaha makanan halal mempertingkatkan produk bagi menampung keperluan umat Islam di dunia.
Katanya, dengan jumlah umat Islam di dunia sekarang berjumlah 1.09 billion menyebabkan pasaran produk halal diperlukan memandangkan sebelum ini ia dikuasai pihak barat.
"Sudah tiba masanya kita sebagai umat Islam bersepakat bagi melahirkan produk halal untuk dipasarkan kepada umat Islam di seluruh dunia," ujarnya.
Beliau berkata, umat Islam tidak seharusnya hanya menjadi pengguna selama-lamanya sedangkan kemahiran, kemampuan yang diberikan Allah untuk mereka sudah lama tersedia.
Menurutnya kerajaan Kelantan misalnya telah lama berusaha menjadikan negeri ini sebagai pengeluar produk halal di peringkat dunia.
"Kerana itu setiap tahun kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan telah menganjurkan karnival halal bagi memperkenalkan produk halal keluaran Muslim kepada masyarakat," katanya.
Sementara itu, pengerusi jawatankuasa induk program itu, Haji Zulkifli Mamat berkata, forum terbabit memberi peluang kepada ahli perniagaan Islam menjalin persefahaman dengan rakan niaga baru dari negara-negara lain.
Katanya, forum itu menjadi pentas terbaik untuk membentuk kerjasama persefahaman perniagaan sesama usahawan Muslim di seluruh dunia.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


No comments:

Post a Comment