Terkini

Saturday 23 February 2008

Hayati manfaat, kecemerlangan Imam Syafie

IMAM Syafie adalah antara ulama salaf paling berpengaruh, malah tergolong dalam imam mazhab yang menjadi rujukan umat Islam.Ketokohannya dalam ilmu pengetahuan, kepintaran dan sifat waraknya tiada bandingan, sama ada ketika beliau hidup atau selepasnya.Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris dan salasilah keturunannya dari Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf.

Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad s.a.w pada datuk baginda yang ketiga, Abdul Manaf.Pada usia sembilan tahun, beliau menghafal 30 juzuk al-Quran dan ketika 19 tahun, beliau mengerti isi kitab al-Muwatha' karangan Imam Malik, kemudian beliau menghafalnya.

Oleh kerana kecerdasannya begitu ketara seawal usia 15 tahun, beliau diberikan kebenaran memberikan fatwa di depan masyarakat dan menjawat jawatan guru besar ilmu hadis serta mufti di Masjidil Haram, Makkah.Ketika berusia 20 tahun beliau belajar di tempat Imam Malik di Madinah, kemudian ke Iraq, Parsi dan kembali semula ke Madinah. Dalam usia 29 tahun, beliau ke Yaman bagi menambahkan ilmu di dada. Berkaitan dengan ketaatan beliau dalam ibadat kepada Allah, diceritakan setiap malam beliau membahagikan malam kepada tiga bahagian, sepertiga digunakan bagi kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir, sepertiga lagi untuk tidur.

Ketokohan Imam Syafie dan kecemerlangan yang dicapainya bukan sekadar menjadi kebanggaan umat Islam, malah perlu dicontohi dan cuba digarap kembali segala warisan peninggalannya untuk mencorak kembali kegemilangan ummah dan tamadun bangsa.

Percaya kepada peninggalan Imam Syafie sangat berharga buat umat Islam, pensyarah sambilan di beberapa institusi pengajian tinggi di Indonesia, Khairul Ghazali, menghasilkan sebuah buku bertajuk '30 Wasiat Imam Syafie.'Diterbitkan PTS Millennia Sdn Bhd, buku setebal 176 muka surat itu mengandungi 30 bab, bermula dengan topik ilmu pengetahuan, termasuk cara pembelajaran yang ideal, sesuai dengan anjuran Islam menekankan penguasaan ilmu terhadap umatnya.Pada bahagian itu, penulis memetik kata-kata Imam Syafie: "Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ia menjadi amalan nabi, rasul dan orang-orang soleh."

Kupasannya mengenai kepentingan dan pembahagian ilmu disusuli dengan adab ketika belajar dan kaedah berkesan menguasai ilmu yang tentu sesuai dijadikan panduan bagi pelajar Muslim. Misalnya pada adab ketujuh, beliau menasihatkan pelajar mendengar dengan penuh perhatian, kerana ketika sahabat menghadiri majlis ilmu yang dikendalikan Rasulullah s.a.w, mereka memberikan tumpuan penuh sehingga tidak mempedulikan burung yang bertenggek pada bahu dan kepala mereka.

Pelbagai persoalan dikupas berdasarkan wasiat ditinggalkan Imam Syafie, termasuk berkaitan pemilihan makanan halal, keutamaan mengingati Allah dan akhirat, kelebihan sabar, syukur dan mengawal marah, galakan berbuat baik, mengasihi anak yatim dan berbakti pada ibu bapa, kepentingan takwa, iman dan cara menenangkan hati.Walaupun topik di dalam buku ini tidak dibincangkan secara panjang lebar, ia memadai bagi pembaca yang ingin mengambil manfaat wasiat yang ditinggalkan Imam Syafie dan mengikut jejak kecemerlangannya. --(MyMetro)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com


No comments:

Post a Comment