Terkini

Friday 15 February 2008

BPM sedia ke peringkat global - tawarkan perbankan Islam


KUALA LUMPUR 13 Feb. – Bank Pertanian Malaysia (BPM) sedia mengembangkan sayapnya ke peringkat global dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang selepas pengkorporatannya, yang dijangka dilaksanakan pada awal April ini.
“Jika dahulu, akta yang lama tidak membenarkan kami untuk membiayai apa jua perniagaan di luar negara kerana BPM hanyalah sebuah bank domestik. Namun, di bawah akta yang baru ini, tiada sebarang halangan dan kami juga memang ingin menjadi bank yang berperanan di peringkat global,” kata Pengurus Besarnya, Martini Osman.
BPM, katanya, telah menyediakan beberapa produk baru yang sedia dilancarkan selepas pengkorporatannya, yang dijangka dapat memenuhi kehendak peminjamnya.
“Kami juga sedang merombak produk dan kemudahan sedia ada untuk dimanfaatkan oleh semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Jaringan Perniagaan antara BPM dan anggota Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sni hari ini.
Seminar itu menjadi platform kepada bakal pelanggan untuk menjadikan BPM sebagai pembiaya utama sektor pertanian, kata Martini.
Setakat ini, katanya, BPM telah menyediakan lebih daripada 15 produk yang merangkumi pelbagai jenis pinjaman pertanian melalui pembiayaan secara konvensional dan perbankan Islam.
Bagi tahun ini sahaja, katanya, BPM telah memperuntukkan RM2.66 bilion untuk dana kerajaan (khas) dan komersial, dengan RM982 juta diperuntukkan bagi dana khas dan selebihnya untuk dana komersial.
Menurutnya, BPM menetapkan sasaran untuk meluluskan sejumlah RM300 juta pinjaman sebulan bagi mencapai belanjawan bank itu.
“BPM telah meluluskan pinjaman sebanyak RM274 juta pada Januari tahun ini kepada 7,988 peminjam dan melalui seminar seperti ini, tiada masalah untuk kami dapatkan sebanyak RM300 juta sebulan,” kata Martini.
Sejak penubuhannya 38 tahun lepas sehingga 10 Februari 2008, portfolio pinjaman BPM berjumlah RM3.9 bilion dan sebanyak RM2.87 bilion telah dipinjam oleh golongan bumiputera.
Pada bulan Januari sahaja, katanya, BPM telah memberi sehingga 70 peratus pinjaman tanpa cagaran, manakala selebihnya pinjaman bercagar penuh atau separuh bercagar.
“Jadi, tidak benar untuk mengatakan BPM (mengenakan syarat) terlalu ketat, kami fleksibel dan hanya menekankan kepada pembiayaan. Adalah menjadi harapan kami untuk mengenal pasti anggota DPMM yang berkelayakan pada hari ini untuk membantu mereka terus maju agar menjadi peniaga Bumiputera yang berjaya dan setanding (di peringkat) global,” kata Martini.
“Kami tidak akan mengabaikan golongan kecil ini dan kami juga ingin membina industri kecil dan sederhana (IKS) ke peringkat syarikat besar sehingga mereka boleh mengeksport produk masing-masing ke luar negara,” katanya.
– Bernama

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment