Terkini

Monday 23 December 2013

Malaysia terajui sukuk 2014

KUALA LUMPUR 23 Dis. - Projek-projek prasarana yang akan dilancarkan di rantau ASEAN, Asia Barat dan Afrika Utara (Mena) akan terus meletakkan Malaysia sebagai 'juara' dalam pasaran sukuk tahun depan, kata CIMB Islamic Bank Bhd.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Badlisyah Abdul Ghani berkata, pasaran sukuk akan memperlihatkan prestasi positif pada 2014, dengan unjuran terbitan baharu bernilai AS$42 bilion (AS$1>RM3.25) hingga AS$48 bilion, diterajui oleh Malaysia dan Arab Saudi.
"Perkembangan terbaharu dari United Kingdom, Hong Kong serta satu atau dua negara lain di Afrika Utara berkemungkinan menambah kemeriahan dalam pasaran tahun depan...Momentum ini akan berterusan," katanya kepada Bernama.
Menurut Badlisyah, sukuk terus menunjukkan prestasi positif di Malaysia sepanjang 2013 dengan keseluruhan terbitan sukuk bernilai kira-kira RM37.4 bilion tahun ini setakat ini.
Hingga kini CIMB Islamic mengungguli senarai liga pengurus utama setelah mengaturkan terbitan sukuk bernilai RM9.70 bilion dan mencatatkan agihan pasaran sebanyak 25.9 peratus.
Dalam Laporan Ekonomi 2013/2014 yang dikeluarkan pada Oktober, Kementerian Kewangan berkata, Malaysia terus menjadi peneraju dunia dalam pasaran sukuk, dengan menguasai 70.5 peratus daripada AS$75 bilion nilai sukuk baharu yang diterbitkan di peringkat global dalam 10 bulan pertama tahun ini.
Sementara itu, tentang prospek keseluruhan kewangan Islam bagi tahun depan, Pengerusi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (Inceif), Prof. Dr. Abbas Mirakhor berkata, Malaysia pasti mengekalkan kedudukannya sebagai teraju utama bagi negara-negara Islam dalam kesungguhannya mengembangkan kewangan Islam.
"Ini selagi Bank Negara Malaysia meneruskan kepimpinan dinamisnya dalam mencipta inovasi bagi inisiatif-inisiatif untuk merangka langkah-langkah praktikal dan teliti untuk memperhalusi takrifnya, serta melaksanakan dasar-dasar yang menggerak maju proses ke arah pertembungan dengan kewangan Islam unggul," tegasnya.
Abbas berkata, rangka kerja perundangan yang baharu diperkenalkan oleh Bank Negara, iaitu Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA), adalah antara pencapaian penting dalam kewangan Islam yang akan menjadi contoh bagi negara-negara Islam lain.
IFSA, yang berkuat kuasa pada Julai, ialah rangka kerja bagi perbankan Islam dan takaful untuk memodenkan undang-undang sebelumnya, yang menyentuh tentang pengendalian dan pengawalseliaan institusi kewangan Islam di negara ini.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, IFSA akan merintis jalan bagi pembangunan rangka kerja kawal selia patuh syariah yang menyeluruh bagi pengendalian operasi kewangan Islam.
"Ia akan memberi kejelasan tentang syarat-syarat asasi yang mesti dipatuhi bagi persetujuan kontrak antara institusi kewangan dan pelanggan untuk terus berkuat kuasa.
"Ia juga akan menggariskan syarat-syarat kendalian bagi penggunaan berkesan prinsip-prinsip syariah dalam perniagaan institusi kewangan Islam," katanya dalam ucapannya semasa Sidang Kemuncak Pelaburan Islam Brunei Darussalam.
Menurut Zeti, inovasi dalam kewangan Islam telah menghasilkan rangkaian produk dan perkhidmatan yang luas, yang semakin memenuhi permintaan sesebuah ekonomi, dan antara produk pembiayaan yang ditawarkan ialah pembiayaan bersindiket, pembiayaan ekuiti dan modal teroka serta pelbagai instrumen pelaburan an perbendaharaan.
"IFSA akan menyebabkan berlakunya beberapa perubahan kepada kefungsian semasa bank-bank Islam, khususnya perubahan jenis kontrak yang digunakan bagi deposit dan pembiayaan, dan ini akan menghasilkan usaha dan pelaburan yang lebih besar pada 2014 dan 2015," kata Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Global Standard Chartered Saadiq, Wasim Saifi.
"Tetapi bagi jangka panjang, akta itu sememangnya menyediakan rangka kerja tadbir urus yang lebih kukuh bagi industri ini dan akan membantu kita membina industri perniagaan yang lebih mampan."
Kata beliau, keputusan pusat-pusat kewangan lain seperti London dan Hong Kong untuk mainkan peranan yang lebih cergas dalam kewangan Islam akan mencerahkan lagi prospek bagi industri ini, dan Malaysia sebagai pusat utama kewangan Islam pastinya akan meraih manfaat daripada profil yang lebih tinggi dan jangkauan yang lebih luas.
Dalam Forum Ekonomi Islam Dunia tahunan kesembilan di London pada 29 Oktober, Perdana Menteri Britain, David Cameron, mengumumkan bahawa beliau mahu melihat London berdiri sebaris dengan Dubai dan Kuala Lumpur sebagai satu daripada pusat kewangan Islam yang hebat di dunia.
Daripada 20 negara di seluruh dunia, Malaysia menduduki tempat ketiga dari segi jumlah aset patuh syariah dengan nilai AS$196.820 juta, dan 41 institusi yang menawarkan perkhidmatan syariah, mewakili 63.7 peratus keseluruhan jumlah penduduk. - BERNAMA (23/12/2013)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment