Terkini

Friday 21 November 2008

Peluang sistem kewangan Islam berkembang

Oleh Mohamad Sofee Razak
(HarianMetro)
KRISIS kewangan kapitalis global yang bertunjangkan mekanisme riba, tekanan faedah berganda dan penindasan kini sedang melumpuhkan sektor perbankan dan ekonomi Amerika Syarikat (AS), Eropah dan beberapa negara dalam sekelip mata, sedang usaha pemulihannya masih buntu serta belum ada tanda ekonomi beransur pulih.

Dalam masa sama episod hitam itu secara relatifnya membuka mata masyarakat dunia kepada potensi sebenar, survival serta kejayaan sistem kewangan Islam yang dilaksanakan di Malaysia dan beberapa negara Islam di seluruh dunia dalam menangani krisis ekonomi.

Inilah masa dan medan terbaik bagi negara Islam memperkukuhkan struktur dan produk kewangan Islam mereka serta mengenengahkannya kepada dunia sebagai pilihan utama kaedah pemulihan ekonomi global.

Kemampuan sistem perbankan Islam tumbuh 15 peratus setahun mencerminkan ia bakal menjadi peneraju pasaran kewangan antarabangsa dengan cirinya tersendiri melawan arus deras institusi riba kapitalis. Sistem kewangan Islam bersifat kurang risiko dan lebih kepada amalan perkongsian keuntungan di samping mampu melindungi sistem kewangan itu daripada krisis kewangan global seperti sekarang.
Hakikatnya institusi kapitalis riba global sedang menuju kemelesetan dan pendokongnya bakal berdepan gelombang kemuflisan terbesar dalam sejarah yang membuka peluang kepada sistem kewangan Islam diterjemahkan kepada masyarakat dunia keseluruhannya.
Islam sangat mementingkan kesejahteraan umat dan memerangi segala bentuk sistem atau struktur berteraskan riba yang memudaratkan kehidupan manusia. Firman Allah, bermaksud, “Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba jika kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya,” (Al-Baqarah: 278- 279).

Oleh itu, krisis dihadapi AS dan Eropah kini membuktikan sistem konvensional semasa berteras riba mempunyai banyak kelemahan dan ketidakseimbangan berbanding sistem kewangan Islam yang bebas riba. Ia dilihat semakin kukuh dan mampu bertahan dalam apa jua keadaan ketika dunia bergelut zaman meleset dan pergerakan ekonomi perlahan serta tidak berdaya saing, dijangka bakal mempengaruhi banyak negara di seluruh dunia, termasuk negara maju.

Ramai sarjana mengakui kesan positif krisis ekonomi dunia kini kepada sistem kewangan Islam yang berdaya tahan tinggi serta mempunyai pelan dan dana jangka panjang seperti institusi zakat, wakaf, baitul mal, sedekah, hibah dan sebagainya di samping inovasi dalam produk ekonomi Islam.

Malah, ini menjadi petunjuk kepada institusi kewangan dan perbankan konvensional supaya mencontohi sistem perbankan Islam berdasarkan keupayaannya yang terbukti berjaya.

Nilai keseluruhan aset kewangan Islam mencapai AS$1 trilion (RM3.52 trilion), malah turut dipraktikkan di lebih 75 negara, termasuk di negara yang didominasi masyarakat bukan Islam.

Sejak lima tahun lalu, pusat kewangan antarabangsa dilihat mula mempraktikkan sistem berkenaan, termasuk beroperasi di London, Singapura dan Hong Kong.

Antara produk utama dihasilkan daripada kewangan Islam adalah Sukuk dan Malaysia adalah pasaran terbesar produk berkenaan dengan bon keseluruhan bernilai RM211.2 bilion.

Ini kejayaan yang sangat baik dan perlu dipertahankan pada masa hadapan serta berusaha menambahkan lagi nilainya.

Mungkin ada hikmahnya terhadap apa yang berlaku kerana masyarakat dunia mula membuka mata kepada kelebihan dan kewibawaan perbankan Islam.

Diharapkan dengan perkembangan memberangsangkan di negara kita, banyak negara di Asia Barat akan melabur di sini kerana mereka sudah hilang keyakinan kepada pasaran dan situasi ekonomi di Barat.

Dalam menangani krisis kewangan pada 1997, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai kepemimpinan yang bijak, berani dan berwawasan untuk melaksanakan langkah drastik, termasuk mengawal tukaran asing terpilih yang berjaya menghalang berlakunya kesan kitaran ganas ke atas ekonomi dan sosial negara kita.

Tambahan pula, industri perkhidmatan kewangan Islam seluruh dunia dijangka bernilai AS$2.8 trilion (RM9.57 trilion) menjelang 2010 nanti.

Menurut Pengarah Unit Perbankan dan Kewangan Universiti Monash (Malaysia), Profesor Bala Shanmugam, jangkaan itu dibuat oleh Badan Perkhidmatan Kewangan Islam Malaysia dan Bank Pembangunan Islam Arab Saudi bersandarkan kepada semakin banyak negara dan institusi kewangan global menyediakan perkhidmatan dan produk kewangan Islam pada masa ini.

Iklim ekonomi dan penyertaan yang semakin bertambah dalam industri itu membuka peluang kepada Malaysia dan negara Islam lain menjadi peneraju utamanya.

Industri global pula kini bernilai sekitar AS$531 bilion (RM1.816 trilion), menunjukkan penerimaan menyeluruh terhadap produk kewangan Islam.

Peserta sektor kewangan Islam tempatan juga bersedia untuk memasuki industri kewangan Islam antarabangsa berikutan penerimaan positif masyarakat global.

Langkah untuk meningkatkan kesedaran terhadap perkhidmatan kewangan Islam semakin dipertingkatkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, termasuk mendedahkan umum kepada aktiviti pasaran modal Islam serta perniagaan takaful yang berkembang pesat.

Kerajaan konsisten mempelbagaikan konsep terbitan nota kewangan Islam sedia ada daripada berasaskan bai inah dan ijarah kepada murabahah yang mendapat sambutan. Dengan menerbitkan nota kewangan Islam menerusi struktur itu yang digunakan secara meluas di Timur Tengah terutamanya, ia boleh menyediakan platform bagi pelabur baru untuk melabur dalam kertas-kertas pembiayaan Islam dalam pasaran Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif yang dikaitkan dengan pasaran kewangan Islam global, instrumen itu akan dipromosikan ke pasaran kewangan antarabangsa dari semasa ke semasa.

Sambil dunia memperakui pentingnya membangunkan produk lindung nilai Islam dalam pasaran kewangan Islam untuk menangani risiko, Malaysia bangun memperkenalkan perjanjian derivatif Islam global bagi mendokumenkan transaksi derivatif Islam yang dimulakan bank pusat dan dipacu industri kewangan menerusi pakatan serta kerjasama bijak.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment