Terkini

Friday 21 November 2008

Kukuhkan kewangan Islam


Krisis kewangan kapitalis global yang bertunjangkan mekanisme riba, tekanan faedah berganda dan penindasan ala sistem perbankan rimba, kini sedang melumpuhkan sektor perbankan dan ekonomi Amerika Syarikat (AS), Eropah dan beberapa buah negara lain dalam sekelip mata sahaja. Usaha-usaha pemulihannya masih buntu serta belum ada tanda-tanda ekonomi beransur pulih kembali. Dalam masa yang sama episod hitam itu secara relatifnya telah membuka mata masyarakat dunia kepada potensi sebenar, survival serta kejayaan sistem kewangan Islam yang dilaksanakan di Malaysia dan beberapa negara Islam lain di seluruh dunia dalam menangani krisis ekonomi.
Ini adalah masa dan medan terbaik kepada negara-negara Islam memperkukuhkan struktur dan produk kewangan Islam mereka dan dalam masa yang sama mengetengahkannya kepada dunia sebagai alternatif dan pilihan utama kaedah pemulihan ekonomi global. Kemampuan sistem perbankan Islam tumbuh 15 peratus setahun mencerminkan ia bakal menjadi peneraju pasaran kewangan antarabangsa dengan ciri-cirinya yang tersendiri melawan arus deras institusi kapitalis-riba global. Sistem kewangan Islam bersifat kurang risiko dan lebih kepada amalan perkongsian keuntungan, di samping mampu melindungi sistem kewangan itu daripada krisis kewangan global seperti yang berlaku sekarang.
Pada hakikatnya institusi kapitalis-riba global sedang menuju kemelesetan dan pendokongnya bakal berdepan dengan gelombang kemuflisan terbesar dalam sejarah yang membuka peluang kepada sistem kewangan Islam diterjemahkan kepada masyarakat dunia keseluruhannya. Islam juga sangat mementingkan kesejahteraan umat dan sangat memerangi segala bentuk sistem atau struktur yang berteraskan riba yang memudaratkan kehidupan manusia.
Firman Allah, bermaksud, "Wahai orang beriman, bertakwa kamu kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba jika kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya," (Al-Baqarah: 278- 279).
Oleh itu, krisis yang dihadapi di AS dan Eropah hari ini telah menampak dan membuktikan sistem konvensional semasa yang mesra riba seperti sedang diamalkan ketika ini mempunyai begitu banyak kelemahan, ketempangan dan ketidakseimbangan. Keadaan ini berbeza dengan sistem kewangan Islam yang bebas riba dilihat semakin kukuh, mantap dan mampu bertahan dalam apa jua keadaan di kala dunia sedang mendepani zaman meleset.
Begitu juga dalam keadaan pergerakan ekonomi yang masih perlahan dan tidak berdaya saing, dijangka bakal mempengaruhi banyak negara di seluruh dunia termasuklah negara maju seperti Jepun dan sebagainya.
Ramai sarjana mengakui kesan positif krisis ekonomi dunia kini kepada sistem kewangan Islam berdaya tahan tinggi serta mempunyai pelan dan dana jangka panjang seperti institusi zakat, wakaf, baitulmal, sedekah, hibah dan sebagainya di samping beberapa inovasi dalam produk ekonomi Islam. Ini menjadikan sistem kewangan Islam secara asasnya tidak menerima kesan langsung daripada krisis yang berlaku berdasarkan ciri-cirinya yang tersendiri seperti kurang risiko, adil dan amalan perkongsian keuntungan dalam segala aspek. Malah, ini menjadi petunjuk kepada institusi kewangan dan perbankan konvensional lain wajar mencontohi sistem perbankan Islam berdasarkan keupayaannya yang terbukti berjaya.
Nilai keseluruhan aset kewangan Islam mencapai lebih AS$1 trilion (RM3.52 trilion), malah turut dipraktikkan di lebih 75 negara seluruh dunia, termasuk di negara yang didominasi masyarakat bukan Islam. Sejak lima tahun lalu, pusat kewangan antarabangsa dilihat mula mempraktikkan sistem berkenaan termasuk yang beroperasi di London, Singapura dan Hong Kong. Antara produk utama yang dihasilkan daripada kewangan Islam adalah Sukuk dan Malaysia adalah pasaran terbesar produk berkenaan dengan bon keseluruhan bernilai RM211.2 bilion. Ini adalah kejayaan yang sangat impresif dan perlu dipertahankan pada masa hadapan serta berusaha menambahkan lagi nilainya.
Melabur
Mungkin ada hikmahnya terhadap apa yang berlaku kerana masyarakat dunia jelas nampak kelebihan dan kewibawaan perbankan Islam dan adalah diharapkan agar dengan perkembangan yang memberangsangkan di negara kita, banyak negara di Asia Barat akan mula melabur di sini kerana mereka sudah hilang keyakinan kepada pasaran dan situasi ekonomi di negara Barat.
Ini adalah kerana, dalam menangani krisis kewangan teruk pada 1997, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai kepimpinan yang bijak, berani dan berwawasan untuk melaksanakan langkah-langkah yang drastik termasuk mengawal tukaran asing terpilih yang berjaya menghalang berlakunya kesan kitaran ganas ke atas ekonomi dan sosial negara kita.
Tambahan pula, industri perkhidmatan kewangan Islam seluruh dunia dijangka bernilai AS$2.8 trilion (RM9.57 trilion) menjelang tahun 2010 nanti. Jangkaan itu dibuat oleh Badan Perkhidmatan Kewangan Islam Malaysia dan Bank Pembangunan Islam Arab Saudi bersandarkan kepada semakin banyak negara dan institusi kewangan global menyediakan perkhidmatan dan produk kewangan Islam pada masa ini.
Iklim ekonomi dan penyertaan yang semakin bertambah di dalam industri ini membuka peluang kepada Malaysia dan negara Islam lain menjadi peneraju utamanya.
Industri kewangan global Islam pula telah berkembang dengan begitu cepat, menunjukkan penerimaan menyeluruh terhadap produk kewangan Islam. Peserta sektor kewangan Islam tempatan juga bersedia untuk memasuki industri kewangan Islam antarabangsa berikutan penerimaan positif masyarakat global. Langkah untuk meningkatkan kesedaran terhadap perkhidmatan kewangan Islam semakin dipertingkatkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, termasuk dengan mendedahkan umum kepada aktiviti pasaran modal Islam serta perniagaan takaful yang semakin berkembang pesat.
Kerajaan konsisten mempelbagaikan konsep terbitan nota-nota kewangan Islam sedia ada daripada berasaskan Bai Inah dan Ijarah ke Murabahah yang cukup berjaya dan mendapat sambutan. Dengan menerbitkan nota-nota kewangan Islam menerusi struktur itu yang digunakan secara meluas di Asia Barat terutamanya, ia boleh menyediakan satu platform bagi pelabur baru untuk melabur dalam kertas-kertas pembiayaan Islam dalam pasaran Malaysia sekali gus mempelbagaikan pangkalan pelabur.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif yang dikaitkan dengan pasaran kewangan Islam global, instrumen ini akan dipromosikan ke pasaran kewangan antarabangsa dari masa ke semasa.
Sambil dunia memperakui pentingnya membangunkan produk-produk lindung nilai Islam dalam pasaran kewangan Islam untuk menangani risiko, Malaysia bangun memperkenalkan perjanjian Derivatif Islam global bagi mendokumenkan transaksi derivatif Islam yang dimulakan oleh bank pusat dan dipacu oleh industri kewangan menerusi pakatan serta kerjasama bijak. Inisiatif terbukti dapat memperbaiki amalan pengurusan risiko, pengurusan imbangan pembayaran, meningkatkan kecekapan menggerakkan dana dan meningkatkan keupayaan perbankan pelaburan institusi perbankan Islam di peringkat global.
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment