Terkini

Thursday 12 July 2007

Wakaf bukti Islam agama bertamadun

Perkataan wakaf dalam sebutan Melayu membawa salah satu dari dua maksud bergantung kepada konteks dan kegunaannya. Jika ia digunakan pada sesuatu objek itu sendiri, ia membawa maksud kerangka bumbung yang terbuka untuk kegunaan awam atau perabot siarkaki yang digunakan untuk orang ramai berhenti rehat, duduk atau berbaring. Perabot siarkaki atau pavillion ini keseluruhannya diperbuat daripada kayu dengan tiang minimum empat batang dan mempunyai pelantar kayu yang rendah. Bagaimanapun jika perkataan wakaf digunakan dengan sesuatu yang lain seperti harta wakaf atau tanah wakaf atau dalam perkataan diwakafkan, ia membawa maksud harta atau tanah yang dihadiahkan untuk kegunaan awam atau perbuatan menghadiahkan harta. Di kebanyakan negara Islam, suatu institusi wakaf diwujudkan bagi menguruskan harta wakaf untuk kegunaan awam dan memenuhi amanat sesiapa yang ingin menyedekahkan hartanya demi mengharapkan syafaat dan kebahagiaan di akhirat kelak. Wakaf dalam masyarakat Muslim: Terdapat berbagai-bagai jenis harta wakaf di dalam dunia Islam. Orang Islam yang berharta menyedekahkan masyarakat dengan air pancut yang boleh diminum, ladang buah-buahan, tanah yang disewa, kedai, tanah untuk masjid atau madrasah, rumah rehat atau pavillion dan kediaman. Sesetengah harta wakaf ini diuruskan oleh badan khas atau agensi kerajaan yang menguruskan harta wakaf. Malahan kerajaan Arab Saudi mempunyai kementerian yang khas untuk menguruskan harta wakaf. Jawatankuasa masjid juga berfungsi sebagai pemegang amanah harta wakaf yang memastikan kestabilan politik dan kebebasan ekonomi institusi tersebut. Bagi orang Islam yang tidak berkemampuan mereka dapat menyumbangkan sedikit harta mereka seperti komponen bahan binaan masjid seperti tiang utama dan juga dengan membina kolah untuk wuduk. Di Malaysia, binaan wakaf kebiasaannya terdiri daripada kerangka empat segi sama dengan empat atau 12 batang tiang. Bumbungnya adalah berbentuk piramid atau limas dan kebanyakannya bertingkat dengan ruang udara di antara bumbung tersebut. Kerangka yang mudah ini biasanya dilengkapi dengan pelantar yang rendah untuk duduk atau berbaring. Pengembara juga menggunakan wakaf untuk tidur atau tempat untuk sembahyang. Binaan wakaf boleh ditemui di kampung tradisional terutamanya di sawah padi atau ladang buah-buahan dan kebanyakannya berdekatan dengan perigi yang digali untuk kegunaan pengguna. Wakaf Pak Badol yang terletak antara Pasir Puteh dan Kota Bharu adalah suatu contoh yang dapat dilihat. Wakaf lain seperti Sla Mean di Bukit Tanah, Kelantan dipercayai dibina untuk upacara tertentu yang dijalankan di situ sebelum menuju ke kuil Buddha berdekatan. Wakaf Penghulu Awang di Kampung Kutan Hulu pula terletak di tengah-tengah tanah perkuburan Islam untuk memberikan kemudahan kepada pengunjung yang menziarahi sanak saudara yang telah meninggal dunia berehat. Binaan wakaf juga mempunyai pelantar tempat duduk yang lebih rendah dari pelantar di bahagian tengah. Status sosial dan ekonomi seorang Muslim yang membina wakaf ini dapat dilihat melalui bilangan ukiran yang terdapat pada papan pemeleh dan tiang yang menyokongnya. Dalam dunia yang moden ini, wakaf masih digunakan di Malaysia menepati dengan fungsi asalnya sebagai tempat berlindung dan berehat seketika. Lokasi yang jelas menunjukkan penggunaan wakaf ialah di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan di mana ia dibina di kebanyakan hentian rehat. Di Kota Bharu, Kelantan, kerajaan negeri telah mengadaptasikan idea wakaf sebagai perabot siarkaki di bandar pada perhentian bas, tepat berkumpul dan kedai kecil dalam bentuk binaan tradisional. Binaan wakaf yang mudah merupakan bukti yang jelas tentang Islam adalah agama yang bertamadun tinggi yang menggalakkan kita menghormati tetamu dan betapa pentingnya sumbangan ke arah masyarakat. Wakaf melambangkan semangat Islam yang jati yang terang dan jujur, bertentangan dengan cubaan sesetengah pihak yang ingin mempamerkan keagungan Islam dengan membina bangunan yang monumental dengan perbelanjaan yang terlalu mahal. * Prof. Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi ialah Pengarah Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (Kalam), Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor. - (Utusan, 12 Julai 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment