Terkini

Wednesday 4 July 2007

Malaysia penerbit bon Islam terbesar dunia

KUALA LUMPUR 4 Julai – Malaysia merupakan penerbit sukuk terbesar dunia dengan penguasaan 67 peratus daripada jumlah yang belum ditebus, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Selain itu, kata Perdana Menteri, negara juga menjadi pelopor bon berdaulat Islam itu di peringkat antarabangsa apabila melancarkan sukuk yang pertama bernilai RM2,040 juta (AS$600 juta) pada Jun 2002. Katanya, sebanyak 51 peratus daripada terbitan berkenaan sudah dilanggani pelabur Asia Barat, 19 peratus lagi pelabur Eropah dan Amerika Syarikat, manakala selebihnya oleh pelabur Asia. ‘‘Bon ini sudah menjadi tanda aras dan pemangkin kepada terbitan bon berdaulat negara dan organisasi Islam lain seperti Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bank Pembangunan Islam dan Bahrain,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Abdul Rahim Bakri (BN-Kudat) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia juga berperanan penting dalam Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) bagi merumus piawaian mengawal selia operasi perbankan Islam antarabangsa. Katanya, sistem kewangan Islam negara ini juga kini dijadikan model beberapa negara yang berminat malah mereka sudah pun menghantar pegawai untuk mempelajarinya. Beliau berkata, keyakinan pelabur dan institusi kewangan luar negara menjadi bukti kejayaan sistem kewangan Islam negara ini. ‘‘Contohnya, Al Rajhi Banking dan Investment Corporation, bank Islam terbesar di dunia yang mempunyai aset RM65.7 bilion memilih Malaysia sebagai destinasi pertama bagi operasinya di luar Arab Saudi. ‘‘Begitu juga penubuhan Kuwait Finance House bank Islam kedua terbesar di dunia dengan aset RM39.1 bilion dan kini beberapa institusi kewangan asing seperti Solidarity Co, Bahrain; Millea Asia Pte Ltd, Japan dan HSBC (Asia Pasific) Holdings Limited, Hong Kong, memilih Malaysia sebagai tapak operasi perniagaan takaful mereka bersama rakan kongsi di Malaysia,” katanya. Di peringkat domestik, katanya, sektor kewangan Islam mencakupi 12.2 peratus daripada pasaran kewangan negara dengan aset bernilai RM133 bilion manakala sektor takaful menyumbang 6.1 peratus dengan aset RM6.9 bilion. - (Utusan Malaysia, 4 Julai 07)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment