Terkini

Monday 15 June 2015

Memperkasa kewangan Islam

Kertas kerja berkenaan bertujuan menilai kejayaan Malaysia dalam membangunkan sistem perbankan dan kewangan Islam yang moden, dinamik dan komprehensif di dunia sejak dikuatkuasakan Akta Bank Islam pada 1983. Kejayaan itu membolehkan sistem perbankan dan kewangan Islam Malaysia menjadi model kepada pusat-pusat perbankan dan kewangan terkemuka dunia. Di sebalik pencapaian yang membanggakan itu, terdapat juga kelemahan ketara apabila sistem perbankan dan kewangan berkenaan masih gagal untuk mencapai matlamat maqasid syariah bagi memperkasakan ekonomi umat Islam di Malaysia. Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dalam bab pertama buku berkenaan menegaskan, institusi kewangan Islam seharusnya berperanan secara berkesan bagi mengumpul dana daripada sektor yang mengalami lebihan untuk disalurkan kepada sektor yang memerlukan dana bagi mencetuskan peluang ekonomi lebih besar di kalangan Muslim. Tulis beliau, apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya apabila institusi perbankan dan kewangan Islam berperanan seperti konvensional apabila mendapat keuntungan melalui aktiviti pinjaman. “Apabila Malaysia memperkenalkan perbankan dan kewangan Islam pada 1983, niat kita sepatutnya ialah untuk membawa kepada transformasi sistem perbankan dan kewangan dan seterusnya menyusun ekonomi negara. “Setelah tiga dekad sistem perbankan dan kewangan Islam beroperasi di negara ini, masih banyak masalah ekonomi wujud. “Justeru, wajar untuk kita mengkaji kembali strategi sedia ada dengan memberi tumpuan kepada pembangunan instrumen perbankan dan kewangan Islam yang mampu mencapai matlamat maqasid syariah,” tulisnya. Pandangan itu, turut dikongsi oleh Dekan Institut Antarabangsa bagi Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid yang menyifatkan peranan sistem perbankan dan kewangan Islam kini hanya sekadar untuk membolehkan orang Islam berurusan dengan instrumen yang patuh syariah dari segi teknikal sahaja dan tidak lebih daripada itu. “Apakah kesan positif perbankan dan kewangan Islam hari ini kepada ekonomi umat Islam di negara ini? “Berapa banyak perbelanjaan yang telah digunakan untuk memperkukuhkan pematuhan syariah tetapi akhirnya hasilnya itu mencurah-curah masuk ke kantung orang lain. “Kita nampaknya dapat Islam dan mereka pula dapat wang. Sejak lama sebelum ini, kita dapat kuasa politik dan melalui kuasa berkenaan orang lain dapat hasil ekonomi,” tulisnya dengan nada sinis. Dalam pada itu, pensyarah Jabatan Strategi dan Dasar Perniagaan, Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Mohd. Nazari Ismail melahirkan kekesalan kerana kewujudan bank dan institusi kewangan Islam telah menyenangkan orang Islam untuk berhutang. “Oleh kerana bank dan institusi kewangan ini ingin menjadi lebih besar dan mahu menambah keuntungannya, maka pihak berkenaan telah berusaha untuk meningkatkan jumlah peminjam yang berhutang dengannya. “Ini sebenarnya adalah satu sikap yang lain dari apa yang diajarkan oleh Islam kerana dalam Islam berhutang adalah satu perkara yang tidak digalakkan,” jelasnya. Menurut beliau, ramai orang Islam telah terjebak dengan amalan berhutang kerana terpengaruh dengan galakan berhutang oleh bank dan institusi kewangan yang berlumba-lumba mencari pelanggan. “Umat Islam sekarang boleh melakukan ubah suai rumah, mengadakan majlis perkahwinan yang mewah dan sebagainya tanpa perlu menunggu duit simpanan mencukupi kerana mereka boleh berhutang. “Akibatnya ramai keluarga Islam yang patuh syariah juga telah terlibat dengan beban hutang yang tinggi,” tulisnya. Sementara itu, Profesor Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali mencadangkan pelaburan yang dikategorikan patuh syariah tidak diukur semata-mata kerana telah mematuhi segala syarat ditetapkan oleh ajaran Islam. Beliau menjelaskan, aspek tanggungjawab sosial korporat dan tadbir urus syarikat yang baik seharusnya turut diberi perhatian. “Kita tidak mahu ada syarikat yang disenaraikan patuh syariah dari segi aktiviti utama perniagaan dan pendapatan bersih tetapi terlibat mencemarkan alam sekitar atau mengabaikan kebajikan pekerja,” tulisnya. 

(Utusan Online / 12 Jun 2015)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment