Terkini

Tuesday 12 August 2014

Pilih Institusi Kewangan Islam Untuk Beli Rumah - Tengku Abdullah

KUANTAN, 12 Ogos (Bernama) -- Umat Islam di negeri ini yang berhasrat untuk memiliki kediaman sendiri disaran memilih institusi kewangan Islam bagi membiayai permohonan pinjaman pembelian rumah masing-masing.

Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, selain mempunyai elemen patuh syariah yang bebas riba atau faedah, sistem itu juga mempunyai perlindungan insurans takaful kepada para peminjam.

"Saya berpendapat bahawa institusi kewangan Islam di negara ini mampu dalam menyediakan kaedah pembiayaan pemilikan rumah yang mematuhi syariah dan kompetitif. Antara kaedah yang popular ialah Bai Bithaman Ajil dan kontrak perkongsian musyarakah mutanaqisah.

"Kaedah ini telah diluluskan oleh majlis penasihat syariah, Bank Negara Malaysia dengan merujuk kepada jualan barangan di mana penjual membayar kepada pembeli harga jualan secara tangguh berserta dengan suatu margin keuntungan yang dipersetujui, sama ada secara sekali gus atau secara ansuran," titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian ketika merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa (Muamalat) peringkat negeri Pahang di sini Selasa.

Turut hadir, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Sementara itu Abdul Rahman ketika ditemui pemberita berkata pengenalan dua sistem pembiayaan perumahan secara Islam itu dapat memberi penjelasan dengan lebih teliti kepada umat Islam mengenai kaedah pembelian rumah yang berbeza dengan pinjaman menerusi sistem kewangan konvensional.

"Sistem ini belum pernah diamalkan di mana-mana negara dan kita berharap agar dapat mempelopori sistem ini khususnya bagi membantu umat Islam memiliki kediaman menerusi sistem kewangan yang mengikut hukum syarak," katanya.


(Pertubuhan Berita Nasional Malaysia / 12 Ogos 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment