Terkini

Thursday 20 February 2014

Pertumbuhan kewangan Islam di Malaysia pada 2014 dijangka stabil


Pertumbuhan kewangan Islam tempatan tahun ini dijangka stabil di sebalik ketidaktentuan ekonomi global dan tempatan, termasuk penyusutan nilai ringgit, kata pakar. 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif CIMB Islamic Bank Bhd, Badlisyah Abdul Ghani, berkata kesan jangka pendek ke atas mata wang tempatan dan ketidaktentuan ekonomi lain tidak memberi kesan besar terhadap pertumbuhan kewangan Islam. 



"Kita melakukan transaksi berdasarkan petunjuk yang wujud pada masa tertentu, Jika mata wang kita teguh, kewangan Islam akan diteruskan dengannya dan jika mata wang kita lemah sedikit, ia tetap diteruskan." 

"Kewangan Islam akan terus tumbuh dengan baik di Malaysia...ia tumbuh secara positif sejak beberapa tahun lalu dan akan berterusan sehingga 2020 serta selepasnya," katanya kepada pemberita di majlis Persidangan Pembelajaran: Perbankan Islam dan Undang-Undang Kewangan 2014 di Kuala Lumpur, semalam. 

Badlisyah juga berharap lebih ramai pengguna kewangan konvensional beralih kepada kewangan Islam berikutan ketidaktentuan terbabit serta faedah diperoleh, termasuk pengecualian duti setem. 

"Kewangan Islam menawarkan perkhidmatan dan produk yang kompetitif. Walaupun anda ketepikan insentif, ia masih sangat menarik kepada pelanggan," katanya. 
Badlisyah enggan mengulas mengenai sasaran pertumbuhan CIMB Islamic untuk kewangan Islam tahun ini, tetapi berdasarkan permintaan semasa, beliau berkata, ramalan Bank Negara Malaysia terhadap pertumbuhan 15 hingga 20 peratus setahun boleh dicapai dengan mudah. 

Persidangan dua hari bermula semalam itu dianjurkan Jurnal Undang-Undang Semasa Malaysia dan Majlis Peguam Malaysia.

(Berita Harian/20 Feb 2014)

---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment