Terkini

Saturday 30 November 2013

Ekuiti berlandaskan syariah

KUALA LUMPUR 30 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, piawaian baharu untuk ekuiti berlandaskan syariah akan menarik lebih banyak pelaburan dari negara Islam di Asia Barat ke negara ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, usaha menggalakkan pelaburan dari luar sentiasa menjadi keutamaan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
"Atas aspirasi ini, Suruhanjaya Sekuriti telah melaksanakan piawaian-piawaian baharu untuk ekuiti-ekuiti berlandaskan syariah agar kita dapat menarik lebih banyak pelaburan dari negara-negara Islam di Timur Tengah (Asia Barat)," katanya dalam entri terbaru laman sosial Facebook beliau di sini hari ini.
Menurut Najib, beliau yakin kemasukan pelaburan baharu secara langsung akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan seterusnya memperkukuhkan ekonomi negara.
Berkuat kuasa semalam, Suruhanjaya Sekuriti menyiarkan senarai terbaharu sekuriti patuh Syariah yang dikurangkan kepada sejumlah 653 sekuriti dengan sebanyak 158 lagi dikeluarkan daripada senarai berkenaan.
Senarai kemas kini sekuriti patuh syariah itu diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) berdasarkan kaedah penyaringan yang disemak semula seperti yang diumumkan pada 18 Jun tahun lalu.
Kesemua 653 sekuriti termasuk 16 sekuriti yang baharu diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah dengan mewakili sebanyak 71 peratus daripada 194 sekuriti itu tersenarai di Bursa Malaysia.
Senarai tersebut juga menunjukkan sekuriti patuh syariah merangkumi hampir kesemua sektor perniagaan.
Menerusi kaedah penyaringan yang disemak semula, MPS Suruhanjaya Sekuriti menggunakan pendekatan kuantitatif dua peringkat iaitu penanda aras aktiviti perniagaan dan nisbah kewangan.
Penyemakan itu dibuat setelah mengambil kira pembangunan pesat industri kewangan Islam di Malaysia sejak kaedah penyaringan syariah mula diperkenal pada 1995.
Penyemakan itu juga berpotensi menggalakkan kemasukan dana-dana Islam asing ke dalam pasaran ekuiti patuh syariah di Malaysia seterusnya mengembangkan lagi pasaran modal Islam ke peringkat global seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2. (Utusan Malaysia/20 Nov 2013)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment