Terkini

Friday 13 June 2008

RHB Islamic edar produk perancangan harta Islam (IEP)

KUALA LUMPUR 26 Mei - RHB Islamic Bank Bhd. (RHB Islamic) akan mengedar produk dan perkhidmatan Perancangan Harta Islam (IEP) menerusi perjanjian yang dijalinkan dengan as-Salihin Trustee Bhd. (as-Salihin).
Menerusi perjanjian itu, bank tersebut menetapkan sasaran jualan sebanyak RM1.1 juta untuk pengedaran produk dan perkhidmatan IEP itu pada tahun ini.
Pengarah Urusannya, Jamelah Jamaluddin berkata, pakatan strategik itu merupakan satu kejayaan besar kerana bank itu masih belum menembusi pasaran Islam sepenuhnya.
''Sebanyak RM440,000 daripada sasaran itu dijangka menyumbang kepada keuntungan sebelum cukai.
''Dengan adanya pakatan ini, kami mampu meluaskan skop pasaran dan pada masa yang sama meningkatkan kesedaran umat Islam tentang keperluan menyumbang kepada IEP," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara RHB Islamic dan as-Salihin bagi pengedaran produk IEP di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Jamelah mewakili RHB Islamic manakala as-Salihin diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Aziz Peru Mohamed.
Hadir pada majlis ialah Pengerusi RHB Islamic, Datuk Faisal Ibrahim Siraj dan Pengerusi as-Salihin, Datuk Dr. Mohd Salleh Abas.
Menurut Jamelah, kesedaran mengenai IEP yang tidak mencukupi di kalangan masyarakat Islam di negara ini merupakan faktor utama kadar pengambilan produk IEP yang rendah.
''Produk ini akan diedarkan oleh RHB Islamic menerusi 200 cawangan dan pusat khidmat RHB di seluruh negara serta cawangan sedia ada kita di Singapura, Brunei dan Thailand," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan, hanya satu peratus daripada 16 juta masyarakat Islam di Malaysia menulis wasiat.
''Sebanyak RM40 bilion aset yang dimiliki oleh mereka yang meninggal masih dalam pembekuan dan belum dituntut oleh pewaris," jelasnya.
Tambahnya, RHB Islamic juga merancang untuk mengembangkan produk itu di rantau ini sebelum meluaskan pasaran ke luar negara.
''Setakat ini, kami sedang melatih lebih 27 kakitangan yang melibatkan pekerja daripada jabatan jualan RHB Islamic dan RHB Bank tentang perbankan Islam," ujarnya.
Menurut Jamelah, kumpulan itu bercadang untuk meluaskan produk pengurusan aset dalam masa terdekat, selaras dengan aspirasi menjadi kumpulan perbankan ketiga terbesar di Asia Tenggara menjelang tahun 2012.
(Utusan Malaysia)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding, Pensyarah & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment