Terkini

Tuesday 13 May 2014

IFSA kukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global

KUALA LUMPUR 13 Mei - Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) yang diperkenal tahun lepas, mampu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global, dengan negara ini sudah menerbitkan dua pertiga daripada sukuk dunia.

Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) berkata akta berkenaan yang berkuat kuasa pada 30 Jun tahun lepas, akan menyediakan kelengkapan teras bagi tadbir urus dan mengikut prinsip Syariah untuk industri kewangan Islam di Malaysia.

“Untuk itu, IFSA akan berperanan sebagai premis undang-undang bagi pembangunan rangka kerja pengawalseliaan berasaskan kontrak yang menggambarkan perincian khusus pelbagai jenis kontrak berprinsip Syariah," katanya dalam Laporan Tahunan 2013 Program Transformasi Ekonomi yang dikeluarkan semalam.
Kata Pemandu, akta ini akan menyokong penyampaian pelbagai cadangan nilai kewangan Islam dengan memastikan penggunaan berkesan kontrak Islam dalam menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam, merangkumi kaedah-kaedah pemindahan dan perkongsian risiko.

Katanya Malaysia juga akan meneruskan laluan pertumbuhan sektor kewangan Islam dengan menumpukan fokus kepada tiga bidang penting - kepakaran, tadbir urus dan amalan Syariah, serta rangka kerja undang-undang dan pengawalseliaan.

Menurut Laporan Sukuk Global 2013 yang dikeluarkan oleh KFH Research Ltd, Malaysia kekal sebagai peneraju global dalam penerbitan sukuk, mewakili 67.8 peratus, atau RM132.1 bilion bon Islam baharu yang diterbitkan secara global dalam setengah tahun pertama 2013.

Kata Pemandu, dengan tahap kecairan yang tinggi dalam pasaran sukuk Malaysia pada 2013, penerbit asing semakin berminat untuk memanfaatkan sektor domestik ini.

Katanya, Bursa Malaysia meraih kedudukan sebagai bursa teratas dalam penyenaraian sukuk yang berjumlah RM102 bilion sehingga Ogos tahun lalu.

Antara penyenaraian utama tahun lepas ialah syarikat gadai janji nasional, Cagamas Bhd, berjumlah RM3.8 bilion iaitu penawaran sukuk komoditi Murabahah terbesar bagi 2013.

Penyenaraian lain ialah sukuk Syarikat Prasarana Negara Bhd berjumlah RM1 bilion untuk membiayai pengembangan rangkaian pengangkutan awam negara.

Mengenai transformasi Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), Pemandu berkata beberapa inisiatif dan garis panduan berhemat yang diperkenalkan mengukuhkan lagi keupayaan dan kemampuan DFI telah meningkatkan jumlah pembiayaan tertunggak DFI.

Katanya, dalam lapan bulan pertama tahun lepas, jumlah pembiayaan tertunggak DFI meningkat 8.5 peratus kepada RM117 bilion berbanding tempoh sama tahun 2012.

“Pencapaian tersebut adalah hasil pembiayaan yang lebih tinggi yang diberikan untuk kredit penggunaan, sektor maritim dan industri berorientasikan eksport," katanya.

Katanya, kredit penggunaan sebahagian besarnya disalurkan oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dan Bank Simpanan Nasional, yang mencatat pertumbuhan pinjaman 11 peratus kepada RM60.8 bilion pada akhir Ogos 2013.

(Utusan Malaysia / 14 Mei 2014)
---
Latihan & Perundingan: www.alfalahconsulting.com 
Perunding & Motivator: www.ahmad-sanusi-husain.com 
Pelaburan Saham Amanah Islam: www.unit-amanah-islam.com 
Islamic Unit Trusts Investment: www.islamic-invest-malaysia.com

No comments:

Post a Comment